About Me

My photo
Pasir Mas, Kelantan, Malaysia
seorang yang friendly polite open minded

Tuesday, March 29, 2011

KASIH SAYANG MELALUI DOA

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Amalan berdoa di kalangan umat Islam bukanlah suatu perkara yang baru, malahan ianya telah sebati dengan muslimin dan muslimat sejak dari zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Baginda telah menunjukkan pimpinan dan ikutan bagaimana berdoa dan mendoakan.

Hukum berdoa adalah sunat (mustahab iaitu digalakkan). Dalam al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, terdapat suruhan yang memerintahkan supaya berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke arah kebaikan, samada dia dalam keadaan senang ataupun susah, di kala suka ataupun duka, secara bersendirian mahupun berjema’ah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); “Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”

(Surah al-Baqarah : ayat 186)

Menurut Imam al-Qurthubi bahawa ayat di atas menunjukkan perintah Allah Ta‘ala supaya sentiasa berdoa dan beribadat kepada-Nya. Ayat ini juga memberi kegembiraan dan kesenangan kepada makhluk Allah kerana dijanjikan bahawa doa-doa tersebut akan dikabulkan. Melainkan ada sebab-sebab lain mengapa suatu doa itu tergantung-gantung atau ditolak.

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir: ayat 60)

Telah disebutkan dalam banyak hadis-hadis yang shahih mengenai doa, antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemurah, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan (tidak menerima) kedua tangannya (doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Manakala hadis-hadis berikut diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada doa.”

(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Barangsiapa yang tidak berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka Allah murka kepadanya.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)



Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Akan dikabulkan doa seorang dari kamu selama mana dia tidak terburu-buru mengatakan: “Aku sudah berdoa (kepada Allah), namun doaku belum dikabulkan.”
(Hadis riwayat Muslim)



Mendoakan Orang Lain Tanpa Pengetahuannya

Alangkah indahnya Islam itu apabila menganjurkan supaya umatnya saling doa mendoakan antara satu sama lain, samada orang yang didoakan itu mengetahuinya ataupun tidak, lelaki atau perempuan, yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.”

(Surah al-Hasyr: ayat 10)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan.”

(Surah Muhammad: ayat 19)

Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Setiap hamba Muslim yang mendoakan saudaranya pada ketika saudaranya itu tidak ada (tanpa pengetahuannya), maka malaikat akan berkata: “Semoga kamu juga mendapat seumpama (doa) itu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Malah doa seorang muslim terhadap saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya adalah mustajab berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Adapun doa seorang Muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan bagi saudaranya itu, malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama apa yang engkau doakan itu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Adapun antara orang-orang yang wajar didoakan adalah seperti berikut:

Mendoakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam

Mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bererti juga mendoakan Baginda. Di samping menunjukkan rasa cinta dan kasih terhadap Junjungan besar itu, berselawat itu juga merupakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang perlu dilaksanakan sebagaimana firmanNya yang tafsirnya :

“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang penuhnya.”

(Surah al-Ahzaab: ayat 56)

NYAMANNYA DI BAWAH PEPOHON PERSAHABATANMU

Teman,

Telah kulewati,

Pepohon persahabatanmu,

Selesa di rimbunan persefahaman,

Indah di rendang kasih sayang,

Mengutip buah kata hikmahmu,

Menyisip keikhlasan dan kejujuranmu,

Yang kau paparkan suci nan tulus.

Teman…

Maafkan aku,

Kerana tiba-tiba singgah di sini,,

Cantik menghijau mewangi kasihmu,

Mengubat luka menyegar minda ,

Di kala kepanasan resah menggila,

Membakar gelisah nestapa lara,

Rupanya di sini ada desiran yang nyaman.

Teman…

Tidak ku tahu,

Bahawa ade jua jiwa merindu,

Insan akan selalu begitu,

Hati kita mudah saja terpesona,

Punya rasa ingin selalu di sayang,

Sememangnya Allah itu Pengasih

Sesungguhnya Allah itu Penyayang.

Teman…

Aku tidak salahkan..?

Berteduh di rendang kasihmu,

Bukan aku mencuri hatimu,

Bukan aku mengganggu hidupmu,

Bukan aku menganiaya dirimu..

Hanya ku ingin persahabatan tulus suci

Kasih dan prihatinan sahabat sejati.

Teman…

Di bawah pepohon persahabatan..

Apa yang ku cari..apa yang kau mahu,

Persefahaman..saling membantu mengasah hati,

Agar saling mencari keredhaan Ilahi,

Mengumpul bekalan mutiara takwa,

Mencari keberuntungan ..meneruskan perjalanan

mengharapkan bahagia di akhirat sana.

Amin ya Allah..